KISAH PILU SEORANG IBU PUNYA ANAK PENAGIH DADAH
''Apabila adik jadi penagih dadah, bukan setakat ibu bapa saya sahaja menderita, malah kami enam beradik turut sama menghadapi tekanan.
''Puas kami berusaha membantu tetapi baiknya cuma sekejap lepas tu dia buat balik. Kami dah tak tahu bagaimana mahu membantunya lagi. Masalahnya tambah teruk bila dia nak kahwin. Kami nasihatkan fikir dulu, sebab dia penagih tak ada kerja, mana nak tanggung isteri, tetapi dia degil. Akhirnya kami kahwinkan dia.
''Seperti diduga, perkahwinannya tak kekal, tapi dia kahwin lagi kali kedua, dapat dua anak bercerai, lepas tu kahwin lagi kali ketiga. Bila berkahwin, tentulah tambah beban yang kami terpaksa tanggung, makan minum mereka anak beranak kerana dia tak ada kerja. Lampin pakai buang pun kami tanggung sedangkan kami ada keluarga sendiri. Lama kelamaan seorang demi seorang adik-beradik tarik diri. Disebabkan saya tinggal dekat maka sayalah jadi tempat dia meminta bantuan.
''Masalahnya kalau kami tak beri duit dia akan mencuri, tak kiralah rumah jiran, saudara mara bahkan rumah emak sendiri. Pernah satu masa emak telefon saya suruh segera balik sebab adik dah pegang pisau di jalan keluar masuk rumah. Kebetulan saya tinggalkan anak dengan emak kerana berkursus. Fikirkan keselamatan anak, emak dan ayah, saya segera balik dan terpaksa bawa dia ke bandar untuk beli dadah.
''Emak memang takut tinggal di rumah kalau adik ada, sebab dia sentiasa hendakkan duit. Itu belum masuk bab malu dengan jiran tetangga datang mengadu barang-barang mereka hilang, rumah kena pecah dan sebagainya. Semua mereka tuduh adik yang curi.
''Pendek kata satu kampung tahu cerita adik penagih dadah dan pencuri. Bila emak ikut saya pindah, apa lagi semua barang dalam rumah emak habis dijualnya untuk beli dadah. Pada saya biarlah barang itu hilang asalkan jangan nyawa melayang. Kini walaupun pindah jauh di kampung isterinya tapi dia masih cari saya minta duit.
''Oleh kerana adik-adik tinggal jauh, ada di luar negara, ada di utara dan di selatan tanah air, sayalah tempat dia minta bantuan. Adik-adik lain ada membantu tetapi mereka tidak lihat betapa susahnya kami berhadapan dengan adik yang menagih.
''Saya fikirkan dengan pelbagai bantuan yang saya curahkan bantu adik, tak kira wang ringgit dan tenaga, tentulah saya tidak menghadapi nasib seperti emak lalui. Tetapi kehendak Allah yang maha kuasa, siapa sangka saya juga hadapi masalah sama bila anak saya terlibat dengan dadah. Ini membuatkan saya rasa cukup kecewa.
''Seawal umur 15 tahun Nan dah jadi penagih. Kami suami isteri amat sayangkan dia, tapi malangnya dia lebih sayangkan kawan-kawannya. Dengan pujukan kawan dia hilang pedo man, bukan setakat menagih malah mencuri, pecah rumah untuk dapatkan duit beli benda jahanam itu.
''Masalah duit kami anak beranak hilang dah jadi benda biasa, malah dia boleh keluarkan duit saya di Tabung Haji sebanyak RM9,000 melalui kad Bank Rakyat. Ketika hendak berurusan dengan Tabung Haji, saya diberitahu duit dah habis dikeluarkan. Saya hanya mampu menangis.
''Bila anak menagih, saya bukan saja susah hati kerana tabiat buruknya bahkan kerenah jiran tetangga. Asal ada benda berharga di rumah mereka hilang, Nan kena tuduh.
''Apakan daya untuk menasihati Nan, dia tak makan nasihat, malah rumah kami juga jadi mangsanya. Saya amat sedih, kami suami isteri berjawatan dan lulusan tinggi, sedangkan anak sulung kami Nan sijil SPM pun tak ada, sebab dia tak pernah ambil SPM.
''Pelbagai cara kami usahakan untuk memulihkannya tetapi baiknya sementara, lepas itu dia buat balik. Tau dia tak ada sijil kami keluar modal supaya dia berniaga kecil-kecilan, malangnya orang buka kedai pagi tapi dia buka kedai pukul 5 petang, lebih teruk belakang kedai tempat kawan-kawann yang lepak menagih. Akhirnya tutup terus.
''Ketika saya sambung belajar di utara tanah air, saya bawa dia tinggal bersama supaya jauh dari kawasan rumah kami. Bila jauh dia mahu berubah tetapi bila balik ke rumah dia menagih semula.
''Sebagai ibu tidak sepatutnya saya rasa bosan mendidik anak seperti ini tetapi sebagai manusia biasa, saya tidak terdaya menahan derita yang terpaksa saya tanggung dari muda hinggalah usia seperti ini, bermula dari adik hinggalah anak sendiri.
''Mungkin saya ibu yang kejam kerana pernah minta pihak berkuasa menangkap dan masukkan Nan ke pusat pemulihan, malangnya bila pengarah bertukar peraturan pun bertukar, anak saya yang muda ini dikeluarkan dan dimasukkan penagih tegar. Bila keluar pastilah anak saya kembali kepada tabiat lamanya.
''Saya pernah hantar dia ke pusat pemulihan swasta di Rawang, yang ceritanya pernah dipaparkan di TV dan akhbar tetapi anak saya dan beberapa kawannya lari sebab tak tahan diseksa, dipukul dan dirantai kaki, sementara diberi makan tidak secukupnya.
''Saya rasa itu zalim, sepatutnya anak-anak ini dilatih, dibimbing dan dinasihati supaya mereka insaf bukan dirantai, lagi pun mereka bukan duduk percuma, saya bayar RM1,000 sebulan dengan harapan anak saya dapat latihan, bukannya diseksa begitu.
''Kerana terlalu terseksa dan tidak tertanggung dengan penderitaan demi penderitaan, saya pernah terfikir melepaskan stering kereta ketika memandu ke lurah bukit supaya saya tidak lagi tanggung derita ini. Tetapi setelah fikirkan ini ujian Allah, saya terpaksa sabar.
''Saya harap ada ibu bapa lain yang senasib mahu berkongsi masalah. Kalau pesakit kanser, diabetes atau ibu tunggal ada persatuan mereka, mengapa ibu bapa seperti kita tak ada persatuan. Mungkin dengan berbincang akan ada cara kita boleh bantu pulihkan masalah anak-anak ini.'' Itu harapan Salina.
*** MOGA JADI TELADAN KEPADA KITA SEMUA..SEMOGA DIJAUHKAN DARI UJIAN DAN DUGAAN SEPERTI INI AMIN...