Selasa, 11 Jun 2013

LEPAS ROGOL BUDAK 12 TAHUN, NAK TUTUP KES TERUS KAHWIN?

SM berminat dengan artikel berkenaan mengenai seorg lelaki berusia 40an yang mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berusia 12tahun yang didakwa telah dirogolnya…..ikuti pembacaan dibawah yang agak menarik ini…

BEBERAPA tahun dulu, saya menonton filem Osama tentang seorang kanak-kanak perempuan miskin di Afghanistan yang terpaksa menyamar sebagai seorang lelaki supaya boleh bekerja untuk menyara keluarganya. Cerita diakhiri dengan identiti budak kecil itu diketahui lalu dipaksa kahwin dengan lelaki tua beristeri tiga.

Para penonton, termasuk saya, merasa terobek-robek jiwa. Kalau boleh hendak minta penulis dan pengarah filem agar tukar skrip dan mengakhirinya dengan happy ending. Tapi, di situlah kekuatan filem itu. Ia menggugah kita bahawa realiti kehidupan tidaklah semudah dan seindah seperti yang kita mahu.

Yang sedihnya, kisah kahwin bawah umur seperti ini tidak lagi hanya berlaku di Afghanistan, Saudi Arabia, Pakistan dan Bangladesh. Sekarang, sudah semakin kedengaran ianya berlaku di negara kita, Malaysia sendiri.

Lepas Rogol dan nak tutup kes terus kahwin? di mana keadilan yang sebenar?

Saya telah menulis tentang isu kahwin bawah umur Oktober tahun lepas, tapi saya tulis juga lagi kerana ia masih berlaku. Sekarang terdapat satu lagi kes di Sabah. Riduan Masmud, 40 tahun, yang didakwa merogol seorang budak berumur 12 tahun, rupa-rupanya telah mengahwini mangsanya sebagai isteri kedua dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Bukankah tiba masa untuk Malaysia tidak lagi terima kes-kes seperti ini dan pelaku salah dijatuhkan hukuman di bawah undang-undang dan bukannya dibenarkan mengahwini mangsanya yang masih lagi kanak-kanak?

Bukan faktor agama

Masih ramai yang berpegang pada “Islam membolehkan kahwin bawah umur, Aisyah pun kahwin dengan Nabi s.a.w semasa beliau berusia 9 tahun”.  Apa benar begitu? Dalam artikelnya di The Star, Dr Wan Azhar Wan Ahmad, fellow kanan dan pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik di Ikim, telah menolak keras tanggapan bahawa perkahwinan bawah umur adalah anjuran atau amalan Islam. Menurut beliau, tidak ada nas atau dalil yang menyokongnya.

Dr Wan Azhar menyokong pandangan sesetengah ulama yang berpendapat Aisyah berusia sekitar 17 tahun sewaktu berkahwin. Beliau juga merujuk pada surah An-Nisa 4:21, yang mana Allah mengingatkan bahawa isteri berpegang kuat kepada perjanjian ataupun kontrak perkahwinan yang dibuat bersama suaminya. Beliau berhujah bahawa pastilah hanya wanita dewasa dan tidak mungkin kanak-kanak kecil yang mampu memahami kandungan, makna dan kesan perjanjian perkahwinan tersebut.

Kanak-kanak bukan saja tidak mempunyai kematangan yang mencukupi untuk memilih suami yang sesuai, malah tidak akan mampu menegosiasikan haknya di dalam perkahwinan, apatah lagi bila suaminya jauh lebih tua dari dirinya. Apalah anak kecil tahu tentang kesihatan seksual dan reproduksi misalnya, apatah lagi, menegosiasikan hak dan kedudukan sebagai isteri kedua? Justeru, saya menyokong penuh pendapat Dr Wan Azhar bahawa amalan kahwin bawah umur sangat bertentangan dengan Islam dan Al-Quran.


Seperti Dr Wan Azhar, saya juga berpendapat bahawa ianya hanyalah produk budaya dan faktor ekonomi, dan bukan faktor agama. Apakah anda kenal atau pernah dengar anak-anak orang kaya di Malaysia ini yang telah dikahwinkan di usia 12 atau 13 tahun? Mungkin tidak. Rata-rata kes kahwin bawah umur berlaku di kalangan keluarga miskin. Jadi, salah satu cara membasmi amalan kahwin bawah umur ialah dengan membasmi kemiskinan dan memastikan budak-budak perempuan mendapat pendidikan yang tinggi.  Pembasmian kahwin muda juga dapat mengelakkan sebarang masalah kesihatan ataupun kematian akibat kehamilan di usia terlalu muda.

Zaman Nabi bukan zaman sekarang

Tidak semestinya kalau sesuatu amalan itu berlaku di zaman Nabi s.a.w, maka kita pun harus atau boleh meneruskan amalan itu. Perhambaan berlaku di zaman Nabi s.a.w. namun kini, masyarakat dunia termasuk masyarakat Islam di Malaysia menolak dan mengeji perhambaan. Orang Islam di Malaysia pun menerima bahawa perhambaan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Malaysia juga telah berubah. Dulu, memang ada amalan perkahwinan bawah umur. Ibu saya sendiri kahwin pada umur 14 tahun. Tetapi semakin Malaysia bertambah dewasa, begitulah juga, umur perkahwinan turut semakin di peringkat dewasa. Ibu-ibu yang dulu kahwin muda tidak mahu anak-anaknya dikahwinkan di usia muda seperti mereka.

Trend dan pemikiran masyarakat Malaysia telah pun berubah. Namun, mengapa ada sesetengah pihak, teutamanya golongan agamawan, yang hendak mempertahankan amalan kahwin bawah umur? Kenapa sukar untuk masyarakat Islam mengambil pendirian bahawa kahwin bawah umur, memukul isteri dan poligami tidak boleh lagi diterima?

Jangan hipokrit

Rakyat Malaysia mahukan sistem demokrasi, menolak diktator dan autokrasi. Tidak ada siapa yang suka dianiaya atau ditindas, dan semua mahukan mutu hidup yang lebih baik. Semua tidak mahukan kekerasan, keganasan dan penindasan dilakukan terhadap dirinya.

Jadi, kita usah hipokrit. Kalau kita mahukan demokrasi dan keadilan, tidak mahu ditindas, dianiaya atau dikasari oleh sesiapapun termasuk oleh negara, maka sewajarnya kita juga harus menolak sebarang bentuk penganiayaan atau keganasan terutamanya terhadap kanak-kanak dan perempuan. Mengahwinkan kanak-kanak, memukul isteri dan mempoligamikan wanita juga merupakan suatu bentuk penganiayaan, kekerasan dan pelanggaran hak manusia.

Bagi umat Islam, mereka bangga bila mengatakan Islam agama yang membawa kebaikan dan boleh menyelesaikan sebarang masalah di dunia. Seharusnya memang begitu. Kebanyakan agama juga menganjurkan kebaikan. Tapi bila berhadapan dengan masalah di dalam masyarakat, tidak ramai agamawan yang dapat menawarkan penyelesaian dengan baik dan komprehensif. Mereka lebih berusaha menguasai ilmu tentang ketuhanan akan tetapi gagal menguasai ilmu tentang kemanusiaan dan juga konsep kenegaraan di era dunia moden.

Agamawan lupa bahawa antara tujuan agama ialah untuk memberi pencerahan dan keadilan pada manusia. Bukankah orang Islam juga yang kata Islam itu agama ad-deen, agama yang mencakupi segala aspek kehidupan dan yang relevan untuk semua zaman?

Rogol berkanun dan poligami

Kes Riduan Masmud ini bukan setakat kes kahwin bawah umur tetapi juga kes jenayah statutory rape terhadap budak perempuan berusia 12 tahun 6 bulan.  Walaupun katakanlah kanak-kanak itu menyetujui hubungan seks itu, dan walaupun keluarga kanak-kanak itu telah menarik balik dakwaan rogol tersebut, namun pihak berkuasa tetap harus mendakwa Riduan kerana kanak-kanak itu masih di bawah umur 16 tahun.

Namun, istilah statutory rape tidak wujud dalam perundangan syariah atau dalam fiqah. Malahan, enakmen hudud PAS Kelantan dan Terengganu menyenaraikan jenayah rogol pun di bawah kategori zina. Bagi kes seperti ini, sistem perundangan syariah lebih bertumpu pada zina, pengesahan pernikahan dan juga poligami.

Percanggahan antara bidangkuasa dan system perundangan syariah dan sivil boleh wujud jika pihak-pihak berkaitan tidak jelas antara zina dan rogol. Selain isu statutory rape, isu incest iaini hubungan seks antara muhrim, seperti bapa merogol anak, juga tidak boleh sama sekali dikategorikan sebagai zina. Jika jenayah rogol, hanya lelaki yang akan dihukum sedangkan jika zina, perempuan yang menjadi mangsa itu pun akan dikenakan hukuman juga.

Saya mengucapkan tahniah pada beberapa pemimpin seperti Datuk Jainab Ahmad yang telah lantang dan tegas dalam memastikan keadilan terlaksana dalam kes ini. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga menyatakan bahawa kes terhadap Riduan akan diteruskan, dan telah meminta Badan Pencegah Rasuah membuat siasatan kemungkinan berlakunya jenayah rasuah dari pemberian RM5,000 pada bapa kanak-kanak perempuan tersebut. Lim Guan Eng juga telah menyatakan bahawa pesalah rogol berkanun tidak patut lari dari hukuman dengan mengahwini kanak-kanak tersebut.

Namun, siasatan juga sepatutnya dibuat terhadap tindakan Mahkamah Syariah yang telah mengesahkan pernikahan Riduan dengan kanak-kanak itu dalam waktu yang sangat singkat (tidak sampai 10 hari). Apatah lagi memandangkan kanak-kanak itu dijadikan isteri kedua iaitu dipoligamikan dan adanya kemungkinan pemohon, iaitu Riduan, boleh dikenakan hukuman atas kesalahan rogol berkanun.

Kata mesti dikota

Selain dari pemimpin Barisan Nasional, kita juga mahu agar semua pemimpin parti-parti politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengaku memperjuangkan perubahan, keadilan dan hak asasi manusia untuk menyatakan secara terbuka sokongan mereka terhadap larangan dan penghapusan perkahwinan bawah umur. Kanak-kanak biarlah hantar ke sekolah, bukan dikahwinkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SaLam SeMua KeKawaN YaNg RaJIn NaK KOMen Kat BloG Gua Neh..KoMenler Kaw..Kaw..PunYer..GuA TalAk KesaH Oooo..Tp If Pas Neh adeR YanG KeNa MeraNgkaK NaEk MahKaMah JanGan MiNTak ToloNg GuA..TerIma KasIh...