Jumaat, 24 Februari 2012

#AD-DIN# POKOK YANG BERKHIDMAT KEPADA RASULLULLAH

Sedangkan Pokok boleh berjasa kepada Rasullullah tetapi kita yang umatnya menjadi sebaliknya!

Setelah sampai masanya dan ketika yang baik Nabi bersama rombongan niaga telah berangkat membawa barang dagangan Siti Khadijah ke negeri Syam. Selama dalam perjalanan Nabi tidak henti-henti daripada berzikir dan tidak akan bercampur dengan para ahli rombongan yang akan bernyanyi dan bersyair apabila berhenti berehat. Sikap Nabi yang amat berlainan dari sikap kawan-kawan yang lain diperhatikan oleh Maisarah orang kanan Siti Khadijah.

Apabila sampai di negeri Huran semua rombongan niaga dari selatan khususnya dari Mekah akan berhenti rehat di Kota Busra. Nabi akan mengasingkan diri di bawah pokok kayu yang rendangsementara menunggu rombongan bergerak semula ke destinasi yang sebenar negeri Syam. Tempat yang biasa para khafilah Arab singgah ini adalah dekat dengan gereja atau biara rahib Nasrani atau paderi Kristian.

Ketika rombongan Nabi sedang berehat tiba-tiba muncul seorang paderi bernama Nastura dari dalam biara bertemu Maisarah bertanyakan tentang pemuda yang sedang duduk berehat di bawah pokok kayu rendang.

“Siapakah pemuda yang duduk di bawah pokok sana itu”

“Dia adalah pemuda yang berasal dari Tanah Haram dan berasal dari keturunan Quraisy” beritahu Maisarah.

“Adakah dalam kedua matanya ada tanda merah” tanya paderi Nastura. Maksud tanda merah di mata Nabi ialah terdapat bintik-bintik kecil berwarna merah di mata putih Nabi.

” Ya!” Jawab Maisarah.

“Itulah dia penghabisan nabi-nabi Allah. Mudah-mudahan nanti akan manusia mengetahui di kala dia diangkat menjadi Nabi” Jawab paderi Nastura. Paderi Nastura bergegas ke tempat Nabi terus tunduk mencium kepala dan kaki Nabi dan berkata ;

“Aku percaya kepada engkau dan aku menyaksikan bahawasanya engkaulah yang disebut oleh Allah dalam Taurat. Sesungguhnya wahai Muhamad, aku telah melihat tanda-tanda kenabian yang ada pada diri engkau sebagaimana yang telah disebut dalam kitab-kitab yang terdahulu. Hanya tinggal satu tanda yang belum aku lihat pada dirimu. Kerana itu bukalah belakangmu untuk aku lihat.”

Setelah Nabi membuka pakaian baginda dan Nastura melihat belakang Nabi, dia berkata kepada Nabi ;

“Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan selain daripada Allah, dan saya naik saksi bahawa engkau Utusan Allah yang ummi dari bangsa Arab Bani Hasyim yang berasal dari penduduk Mekah.”

Dengan berjumpanya Nabi dengan paderi Kristian bernama Nastura di Kota Busra ini bererti dua orang paderi Nasrani yang telah baginda temui mengakui kerasulan baginda sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi Musa dan Nabi Isa sebelumnya. Kali pertama adalah paderi Buhaira ketika Nabi berusia 12 tahun mengikut rombongan perniagaan Pak Ciknya Abu Talib. 


Dengan pengakuan para ulama besar Kristian pada zaman kehidupan Nabi Muhamad SAW tentang kerasulan baginda menunjukkan betapa tanda-tanda atau alamat kedatangan Rasulullah SAW telah diberitahu oleh Allah SWT terlebih dahulu semoga manusia tidak akan ragu-ragu terhadap kerasulan dan kenabian Nabi Muhamad SAW.

Selepas peristiwa bertemu Paderi Nastura Nabi bersama rombongan meneruskan perjalanan ke negeri Syam untuk menjual barang-barang dagangan yang dibawa.

Kisah ini petikan dari buku “Sejarah Rasulullah Uul Azmi Terbesar Nabi Muhamad SAW” susunan Tarikuddin Haji Hassan mukasurat 79 – 81.

Sekadar peringatan, pernahkan kita membaca dan menjiwai sirah Nabi Muhamad SAW. Kalau sudah alahmdulillah dan kalau belum usahakanlah sekurang-kurang sekali seumur hidup. Marilah kita berazam untuk taat perintah Allah dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk kejayaan di dunia dan akhirat.