Jumaat, 23 Disember 2011

#POLITIK# ADAKAH ISLAM MAMPU MENYATUKAN UMNO DAN PAS?

Kerajaan Perpaduan Yang Duharapkan Dapat Mengukuhkan Lagi Umat Islam Di Negara Ini

Melayu merupakan penduduk asal negara ini. Dalam kata lain, Melayu adalah bumiputera negara ini. Melayu juga adalah kaum bumiputera terbesar Tanah Melayu yang kemudiannya ditukar namanya menjadi Malaysia. Namun, Melayu masih berpecah dan bergaduh sesama sendiri. Itu status Melayu sekarang.

Islam Menyatukan Perpaduan Umat Islam

Antara faktor terbesar yang menjadi penyebab pepecahan Melayu ialah ideologi POLITIK. Kerana perbezaan politik, Melayu yang dulunya bersatu, kini berpecah belah. Kerana perbezaan politik juga, Melayu mengenepikan ajaran Islam semata-mata untuk memuaskan nafsu dan kepentingan politik mereka.

Politik adalah perkara subjektif dan boleh diubah-ubah mengikut keadaan, zaman dan pucuk pimpinan parti. Sebagai contoh, PAS dan UMNO pernah bersatu dan kemudian berpecah kemudiannya. PAS dan UMNO bersatu kerana faktor pemimpin, zaman dan keadaan semasa.

Ketika penyatuan PAS di bawah BN dahulu, Melayu dilihat sangat ultra. Melayu bersatu selepas kejadian 13 Mei. Melayu bersatu selepas melihat kuasa Melayu dan Islam terancam dan Melayu bertindak untuk bersatu. Namun, hanya kerana beberapa kemelut perbezaan pendapat di antara PAS dan UMNO, menyebabkan PAS mengambil keputusan untuk keluar dari BN. Maka Melayu berpecah sekali lagi.

Kini, pemimpin yang menyebabkan pepecahan PAS dan UMNO sudah tidak berkuasa. PAS di pimpin oleh Hadi dan UMNO di pimpin oleh Najib. Najib mempelawa PAS bersatu kembali di bawah BN, dan ini dilihat satu usaha yang baik oleh rakyat yang sudah muak dengan pepecahan Melayu Muslim yang merugikan mereka.

Namun, PAS masih jual mahal dan enggan bersatu. Mengapa? Kerana Nik Aziz berdendam pada UMNO dan BN tentang peristiwa lalu. Kerana PAS melihat DAP dan PKR lebih “mulia” dan “Islamik” berbanding UMNO dan BN. DAP dipeluk dan Guan Eng dinobatkan sebagai “Khalifah Ar-Rasyid” di Pulau Pinang.
Pas menganggap pelawaan Najib itu adalah kerana politik, dan bukan ikhlas kerana Islam. Kata PAS, pelawaan Najib itu adalah kerana UMNO lemah dan hanya ingin bersatu demi bangsa Melayu. Itu sangkaan PAS.

Namun, benarkah apa yang dianggap PAS itu? Benarkah UMNO lemah dan pelawaan Najib itu lebih kepada motif politik? Apakah politik merupakan segalanya bagi agenda penyatuan dan perpaduan umat Islam di Malaysia?

Jika jawapan bagi persoalan tersebut adalah “YA”, maka jelaslah bahawa prinsip jawapan itu berTuhankan politik dan mengenepikan ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah S.A.W. Prinsip itu meletakkan Islam di bawah, politik di atas! Prinsip itu lebih mengutamakan nafsu dan kepentingan kuasa politik serta mengenepikan ajaran Islam yang menyeru umatnya agar bersatu.

Pada masa ini, saya melihat UMNO lebih positif ke arah menyatupadukan umat Islam. Pelawaan Najib itu bukan kerana politik. Pelawaan itu kerana beliau tidak rela melihat saudara seIslamnya terus dipermainkan dan dikotorkan oleh DAP dan PKR. DAP jelas menolak Islam dan PKR jelas menipu serta bersifat munafik dalam pelbagai segi.

Memang UMNO ada “kurang”nya dan kurangnya itulah yang perlu diisi oleh PAS! UMNO tidak meminta PAS membubarkan partinya. UMNO hanya meminta PAS bersatu bersamanya untuk menyatukan umat Islam, sama-sama mengimarahkan Malaysia sebagai sebuah Daulah Islamiyyah yang lebih hebat dan sama-sama mempertahankan kuasa Melayu Muslim di Tanah Melayu ini. Salahkah pelawaan itu?

Pelawaan itu hanya diputar belit oleh segelintir golongan yang kononnya “berilmu tinggi”, professor “serba tahu”, ulama “hebat tersohor” dan parti politik bukan Islam bukan bumiputera yang sememangnya takut dan risau melihat penyatuan dan perpaduan dikalangan umat Melayu Muslim!

Mereka takut dengan agenda persaudaraan Melayu Muslim akan menjadi seperti perpaduan di antara Muhajirin dan Ansar yang memperlihatkan kekuatan Islam ke seluruh dunia! Mereka takut dengan perpaduan Melayu Muslim kerana ia bakal menggagalkan misi mereka ke Putrajaya dan merubah Tanah Melayu ini mengikut acuan kehendak mereka!

Menyedihkan. Mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku. Itulah yang saya boleh simpulkan kepada agenda perpaduan Melayu Muslim di negara ini. Meskipun begitu, saya tidak akan berputus asa untuk menyampaikan mesej kepada pemimpin-pemimpin tertinggi Melayu Muslim tentang agenda ini supaya diusahakan demi masa depan umat Melayu Muslim di negara ini.

Kita Melayu perlu bersatu. Letakkanlah kepentingan politik di bawah dan letaklah kembali Islam di atas. Itu saja yang dapat menyatu padukan umat Islam di Malaysia ini. Buanglah ego, dendam dan kepentingan mengejar kuasa kerana ianya lebih kepada urusan duniawi yang akan diperhitungkan kelak diakhirat. Agenda Islam di negara ini lebih penting!

Nota:
Islam akan lebih kukuh dengan penyatuan kedua-dua parti