Jumaat, 21 Disember 2012

POLIS NAFI KEMATIAN TIGA LELAKI TERBABIT RUSUHAN DI KEDAH



KUALA LUMPUR, 20 Dis - Polis menafikan khabar angin mengenai kematian tiga lelaki kononnya terlibat dalam rusuhan di daerah Kuala Muda, Kedah dua hari lepas. 

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan berkata penyebaran kematian itu dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial. 

"Keadaan semasa di Sungai Petani, Kedah masih tenang dan terkawal, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin dan terlebih dahulu mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian," katanya. 

Beliau berkata penyebaran maklumat dan berita palsu di media sosial yang tidak merujuk kepada kesahihan sesuatu kejadian bukan sahaja perbuatan yang tidak bertanggungjawab malah ia juga adalah satu perlakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada. 

Ramli berkata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa, dan maklumat terkini juga boleh diperolehi daripada Facebook dan Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) - BERNAMA